Dua lelaki ditahan melombong secara haram

RAUB - Tindakan dua lelaki berusia 63 dan 37 tahun menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di Kampung Baru Bukit Koman, di sini mengundang padah apabila ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada Jumaat.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan aktiviti berkenaan sebelum anggota UPNP Zon Pahang Barat bergerak ke lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti cari gali emas di Kampung Baru Bukit Koman, Mukim Gali, daerah Raub pada jam 9.30 malam.
Menurutnya, ketika serbuan terdapat dua individu sedang bekerja berada di kawasan yang disyaki telah melakukan kerja-kerja melombong.
"Pegawai serbuan telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan bertanya berkaitan sebarang kebenaran atau kelulusan yang diberikan.
"Namun kedua-dua mereka gagal menunjukkan sebarang kebenaran bagi menjalankan aktiviti melombong di kawasan berkenaan," katanya.
Jelasnya, pihak penguat kuasa turut menyita sebuah pam air; dulang; dua palong bergerak, cangkul;penyodok dan kuali yang digunakan kedua-dua lelaki terbabit ketika ditahan.
Katanya, UPNP akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001, penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!