Kes dera anak: JKM belum temui waris mangsa

Laporan Sinar Harian berhubung guru bongkar kes murid didera ibu bapa, dikurung dalam sangkar
Laporan Sinar Harian berhubung guru bongkar kes murid didera ibu bapa, dikurung dalam sangkar
A
A
A

GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang masih belum dapat mengesan waris terdekat kepada kanak-kanak perempuan yang didakwa didera ibu bapanya dalam kejadian pada Selasa lalu.

Pencarian tersebut dilakukan bagi membolehkan kanak-kanak itu dijaga oleh waris terdekat memandangkan ibu bapanya masih dalam tahanan polis dan kes masih dalam siasatan.

Pengarah JKM Pulau Pinang, Zakaria Taib berkata, sekiranya tiada waris terdekat yang tampil dan sanggup menjaga mangsa yang berusia 12 tahun itu berkemungkinan kanak-kanak terbabit akan ditempatkan di institusi penjagaan di bawah seliaan JKM.

“Pihak JKM masih mengesan waris terdekat yang sanggup menjaga kanak-kanak ini namun sehingga kini, masih belum berjaya. Tiada paksaan untuk mereka untuk menjaganya.

“Oleh itu, sekiranya masih tiada yang tampil, kita akan tempatkan mangsa di institusi penjagaan di bawah seliaan JKM. Itu adalah jalan terakhir kerana seboleh-bolehnya, kita mahu mangsa dibesarkan dalam kalangan keluarganya,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata anak sulung kepada pasangan tersebut yang berusia 15 tahun kini tinggal bersama neneknya sejak kecil.

“Abang mangsa berada dalam keadaan baik. Mangsa sebelum ini juga tinggal bersama neneknya, namun telah diambil semula oleh bapanya atas beberapa sebab,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis bagi membantu siasatan kes penderaan anak kedua mereka di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini.

Artikel Berkaitan:

Polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada guru besar sekolah murid perempuan berusia 12 tahun itu pada Selasa lalu.

Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 47 dan 49 tahun tersebut direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu terbongkar selepas kaunselor sekolah mendapati murid tersebut kelihatan dalam kesakitan ketika berada di sekolah.

Selepas disoal siasat dan diperiksa, kaunselor terbabit menemui kesan kecederaan di bahagian belakang badan mangsa.

Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah beberapa kali dipukul dengan rotan sejak dua tahun lalu selain mendakwa pernah dikurung di dalam sangkar anjing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!