Lelaki didakwa simpan hampir 4,000 liter diesel tanpa lesen sah

KOTA BHARU – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan memiliki hampir 4,000 liter diesel tanpa lesen sah di Pasir Puteh, awal Februari tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Afiq Hazwan Azmi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel berjumlah 3,993 liter di dalam tangki empat segi di alamat Jalan Kampung Goog Kala, Sungai Petai, Pasir Puteh, pada jam 5 pagi, 2 Februari 2024.
Afiq Hazwan didakwa menyimpan diesel tersebut dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan suatu kesalahan, iaitu berurusan secara runcit atau borong dengan barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah.
Perbuatan itu didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri, manakala tertuduh diwakili peguam dari firma Azrul Hasyimi & Co.
Pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Kelantan, serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Julai ini bagi tujuan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!