Tiga beranak maut, motosikal dirempuh kereta

KUALA LANGAT - Tiga beranak, termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta di Kilometer 53, Jalan Klang–Banting–Port Dickson, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari arah Sepang menghala ke Banting, dipercayai telah memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan tersebut bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki tiga mangsa.
“Pelanggaran itu mengakibatkan pasangan suami isteri serta anak perempuan mereka tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting.

“Mangsa yang maut merupakan pasangan suami isteri berusia 20-an dan seorang bayi perempuan berusia setahun.
“Mayat semua mangsa telah dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor S Taneshwaran di talian 012-6708561 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!