KKM tawar vaksin Tdap percuma kepada ibu mengandung

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin Tdap ditawarkan di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara.
"Vaksin ini bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi baru lahir yang sangat terdedah kepada komplikasi pertusis atau batuk kokol sebelum melengkapkan jadual vaksinasi.
"Kajian antarabangsa juga telah menunjukkan bahawa vaksin ini selamat dan berkesan, tanpa meningkatkan risiko kepada ibu atau bayi," katanya pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Dzulkelfly berkata, KKM tidak mewajibkan ibu mengandung untuk mengambil vaksin Tdap, namun amat menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin itu.
Beliau berkata, selain vaksin untuk ibu mengandung yang juga inisiatif di bawah strategi imunisasi sepanjang hayat, KKM turut mula melaksanakan Program Vaksin Influenza untuk warga emas, dilancarkan pada 18 Feb lepas, dengan menyasarkan mereka berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik.
Dzulkefly berkata, setakat semalam, seramai 97,355 warga emas telah menerima vaksin influenza itu di fasiliti KKM.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata dasar vaksinasi negara sentiasa disemak berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan antarabangsa, justeru itu beliau menegaskan semua vaksin yang digunakan di Malaysia telah melalui penilaian keberkesanan dan keselamatan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) dan dipantau secara berterusan oleh KKM.
"Penyebaran berita dan maklumat palsu mengenai vaksin kian membimbangkan dan menjejaskan keyakinan masyarakat. Saya faham ada dalam kalangan ibu bapa di luar sana yang masih ragu-ragu.
"Saya menyeru kepada semua supaya setiasa merujuk kepada sumber rasmi kerana keputusan kita hari ini memberi kesan kepada kesihatan generasi akan datang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!