Terkejut lihat ular sawa ekori kambing

Seekor ular sawa batik seberat 90kg mengejutkan penduduk apabila mengekori kambing ternakan di kebun getah Kampung Tebing Tinggi, Baling, Foto APM
Seekor ular sawa batik seberat 90kg mengejutkan penduduk apabila mengekori kambing ternakan di kebun getah Kampung Tebing Tinggi, Baling, Foto APM
A
A
A

BALING - Penduduk Kampung Tebing Tinggi di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa batik seberat kira-kira 90 kilogram yang dikesan mengekori sekumpulan kambing ternakan di sebuah kebun getah pada petang Isnin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kampung berhubung kejadian itu pada jam 5.10 petang.

Menurutnya, penduduk berkenaan terkejut apabila terlihat reptilia bersaiz besar berhampiran kawasan ternakan kambing lalu segera menghubungi pihak berkuasa.

"Maklumat awal mengatakan seekor ular sawa batik besar dan panjang itu dilihat mengekori sekumpulan kambing ternakan," katanya.

Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa batik di Kampung Tebing Tinggi, Baling. Foto APM
Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa batik di Kampung Tebing Tinggi, Baling. Foto APM

Bagaimanapun, jelasnya, tindakan pantas pemilik ternakan yang menyedari kehadiran reptilia tersebut berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Ketika kami tiba, didapati ular sawa seberat kira-kira 90 kilogram dan sepanjang kira-kira lima meter itu berada dalam kebun getah berhampiran kawasan ternakan kambing.

“Operasi menangkap ular mengambil masa kira-kira 30 minit dan berjaya dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Faizol, ular tersebut kemudian dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut oleh pihak berkaitan.

Jelasnya, APM sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kecemasan, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan berbahaya berdekatan kediaman serta tidak bertindak sendiri bagi mengelakkan sebarang risiko," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!