Anwar, Li setuju tingkat kerjasama strategik melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama Perdana Menteri China, Li Qiang bersetuju untuk terus mempertingkat kerjasama strategik, khususnya melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berlangsung esok.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi Republik Rakyat China memperkukuh kerjasama serantau di masa hadapan.
"Antara bidang tumpuan termasuk ekonomi, industri halal, perdagangan, pengangkutan terutamanya berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tenaga hijau serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan," katanya menerusi hantaran di laman Twitter beliau, malam ini.
Beliau berkata demikian sempena pertemuan dua hala dengan Li, di samping Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 2025 di sini, pada Isnin.
Anwar turut merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara Selatan Global.
Beliau berkata, ia secara tidak langsung menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau dan global.
"Kerjasama erat ini amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN. Semoga Sidang Kemuncak ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi rantau secara menyeluruh," katanya.
Li tiba ibu negara awal hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang diadakan buat julung-julung kalinya di Kuala Lumpur.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini dan esok, serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu, setelah mempengerusikannya sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!