Pengantin baharu dalang jual dadah dalam cecair vape

MELAKA – Kegiatan pasangan pengantin baharu yang disyaki menjana pendapatan dengan menjual vape mengandungi cecair campuran dadah, termasuk kepada pelajar sekolah, akhirnya berjaya ditumpaskan polis dalam satu serbuan di Jasin Bestari pada Isnin.
Pasangan yang baharu tiga bulan mendirikan rumah tangga itu terdiri daripada seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun dan isterinya, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya mengesan kegiatan pasangan tersebut yang menjadikan rumah sewa mereka sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah, termasuk cecair ketamin berperisa.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah tersebut menemui 212 biji pil Ekstasi, 42 biji pil Eramin 5, 13.7 gram syabu, 10 gram ganja dan 127.5 gram cecair ketamin.
Katanya, modus operandi mereka adalah dengan membungkus semula dadah ke dalam bekas cecair vape berperisa bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita percaya mereka telah aktif sejak tiga bulan lalu dan jumlah rampasan ini boleh digunakan oleh seramai 786 orang penagih.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya mendapati mereka positif dadah jenis metamfetamin, dan siasatan lanjut mendapati lelaki warga Singapura itu mempunyai tiga rekod lampau di negaranya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kegiatan pasangan itu amat membimbangkan kerana menyasarkan golongan remaja sebagai pengguna awal dadah, dengan menggunakan rokok elektronik sebagai medium penyamaran.
Ujarnya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dan sebuah motosikal SYM Husky milik pasangan berkenaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM32,650.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!