Pelajar China didenda RM17,000 tipu rakan diculik untuk tuntut tebusan RM2.9 juta

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang didakwa atas satu pertuduhan menipu, konon rakannya telah diculik bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta, didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Zhang Runbao, 23, yang menuntut di sebuah universiti di Singapura dikenakan hukuman tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah, atas satu pertuduhan pilihan, semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mahkamah memerintahkan pelajar itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, Runbao didakwa menipu ibu rakannya Ye Yingxi, 18, iaitu Cheng Zhiwen, 40, dengan membuat panggilan lalu menunjukkan video Yingxi diculik.
Ia turut menunjukkan badan Yingxi berada dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
Tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta wang tebusan sebanyak ¥5 juta bersamaan RM2.9 juta ke satu akaun di China.
Sedangkan perbuatan itu merupakan lakonan bagi mendorong mangsa menyerahkan wang, yang mana Zhiwen tidak akan bertindak seperti itu sekiranya mengetahui diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara jam 11.44 pagi dan 9.15 malam, 2 Mei lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan mencadangkan, mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
“Tindakan tertuduh yang menipu menyusahkan banyak pihak selain membuang masa dan kos mahkamah termasuk pihak polis untuk mengesannya.
“Pendakwaan turut memohon tertuduh kedua, Yingxi dilepas tanpa dibebaskan kerana Runbao telah mengaku bersalah,” katanya.
Sementara itu, peguam, Ernie Sulastri Ahmad yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan.
“Dia berhasrat untuk menyambung pengajiannya yang dijangka berakhir pada Jun tahun depan," katanya.
Sementara itu, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Yingxi, merayu mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya selepas memaklumkan Zhiwen tidak meneruskan kes dan menarik balik laporan polis terhadap anaknya.
Hakim, Azrul kemudiannya membenarkan permohonan itu dan memerintahkan Yingxi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan terbabit.
Pada 13 Mei, Sinar Harian melaporkan, dua lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu bagi tujuan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!