[VIDEO] Nik Nazmi ikut jejak Rafizi, letak jawatan menteri

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikut jejak sama berkuat kuasa 4 Julai depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata, keputusan tersebut susulan kegagalannya mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.

"Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini dalam pemilihan PKR, beliu dilapor tewas kepada pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki dalam pertandingan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada bulan lalu.

Selain itu beliau turut gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya pada sesi pemilihan tersebut.

Mengulas lanjut Nik Nazmi memaklumkan, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan mula bercuti bermula Khamis hingga 3 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi
Nik Nazmi

Menurutnya, sejak dilantik sebagai Jemaah Menteri bermula Disember 2022 hingga kini, beliau telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan penjawat awam untuk melaksanakan reformasi yang diperlukan.

Antara kejayaan yang diraih termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) Fasa 1serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Malah beliau berkata, Malaysia turut menjadi antara negara terawal yang mengemukakan Plan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.

"Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia.

"Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat.

"Dalam sektor air, kami berjaya memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan dan pasukan NRES juga telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas dan kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen," ujarnya.

Sementata itu Nik Nazmi turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam, pasukan di pejabatnya serta semua pihak yang telah memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Katanya, kementerian sentiasa berusaha mengambil pendekatan terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar serta memperkenalkan undang-undang.

"Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: 'Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!