SPRM mohon khidmat MLA cari bukti di luar negara berhubung kes SEB

KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan kerjasama dengan beberapa pihak berkuasa negara luar bagi mendapatkan maklumat terperinci membabitkan kes Sapura Energy Bhd (SEB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengguna pakai Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) di beberapa negara untuk memperoleh maklumat serta bukti berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat tersebut.
Beliau berkata, usaha mendapatkan bantuan itu akan dilaksanakan menerusi Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Pada masa ini, SPRM sudah menyiapkan permohonan MLA itu.
"Ia akan diserahkan kepada AGC dalam tempoh terdekat," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS).
Hadir sama Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Azam sebelum ini mendedahkan, sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Brazil, Singapura dan Belanda dikesan terbabit dalam transaksi pelaburan mencurigakan oleh syarikat terbabit.
Katanya, keterangan berhubung transaksi kewangan di luar negara itu penting untuk membantu siasatan SPRM.
Menurutnya, dua rakyat Malaysia turut dikesan menjadi proksi dalam pelaburan mencurigakan syarikat itu.
"Kami sedang melengkapkan siasatan salah laku di SEB termasuk memanggil lebih ramai saksi bagi dirakam keterangan.
"SPRM juga sedang giat membuat analisa kewangan daripada dokumen-dokumen yang diperoleh," ujarnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang tokoh perniagaan bergelar 'Tan Sri' berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan SEB.
Media difahamkan individu berkenaan sudah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapan selama dua hari berturut-turut.
Fokus siasatan SPRM menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa dalam isu membabitkan ganjaran yang meliputi gaji, bonus dan syer, selain yuran penjenamaan dan amalan penyenaraian persendirian antara 2012 hingga 2021.
Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana serta pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!