Mayat lelaki ditemukan terapung di kawasan pam pasir

MARAN-Mayat seorang lelaki berusia 58 tahun ditemui terapung oleh nelayan di kawasan pam pasir di Kampung Paya Pasir di sini pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.38 petang.
Menurutnya, dua pegawai dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Komander operasi melaporkan bahawa sebaik tiba di lokasi, didapati benar terdapat seorang mangsa lemas lelaki dewasa ditemui terapung di kawasan pam pasir di tempat kejadian.
"Pihak bomba dan polis telah menggunakan bot aluminium untuk mengambil mayat yang terapung serta tersangkut di timbunan kayu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, operasi turut menghadapi kesukaran untuk menurunkan bot disebabkan oleh keadaan kawasan berpasir jerlus
Ujarnya, mayat tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.01 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!