Tanda harga tak jelas, peniaga dakwa pembeli tidak pernah persoal

Mohd Zuhairi menerangkan kepada salah seorang peniaga berkaitan peraturan tanda harga pada pemeriksaan mengejut KPDN Selangor di sebuah pasar di Kuala Langat pada Khamis.
Mohd Zuhairi menerangkan kepada salah seorang peniaga berkaitan peraturan tanda harga pada pemeriksaan mengejut KPDN Selangor di sebuah pasar di Kuala Langat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tanda harga ditulis tangan, saiz kecil dan tidak jelas menjadi antara kesalahan segelintir peniaga yang dikesan menerusi pemeriksaan mengejut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di sebuah pasar di sini pada Khamis.

Rata-rata peniaga terbabit memberi alasan tanda harga ditulis tangan kerana harga barangan dijual itu tidak tetap dan berubah mengikut kadar pasaran semasa.

Mereka turut mendakwa pembeli sudah maklum mengenai harga barangan dan tidak pernah mempersoalkan saiz harga yang dipaparkan.

Anggota KPDN menjalankan pemeriksaan di salah sebuah gerai menjual daging menerusi operasi pada Khamis.
Anggota KPDN menjalankan pemeriksaan di salah sebuah gerai menjual daging menerusi operasi pada Khamis.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan menerusi Operasi Bersepadu itu dijalankan bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bermula jam 9 pagi.

Beliau berkata, seramai 35 anggota dan pegawai KPDN bersama penguat kuasa MPKL melakukan pemeriksaan terhadap 94 peniaga di pasar berkenaan melibatkan barangan basah seperti ikan dan sayur.

Menurutnya, operasi itu menumpukan kepada pemeriksaan harga jualan, tanda harga yang jelas, keberadaan bekalan serta penggunaan alat timbang yang ditentusahkan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuhairi (tiga dari kanan) ketika pemeriksaan mengejut KPDN Selangor di sebuah pasar di Kuala Langat pada Khamis.
Mohd Zuhairi (tiga dari kanan) ketika pemeriksaan mengejut KPDN Selangor di sebuah pasar di Kuala Langat pada Khamis.

"Hasil pemeriksaan, tujuh peniaga dikesan meletakkan tanda harga yang tidak jelas dan mengelirukan pengguna, untuk permulaan ini, KPDN memberikan amaran lisan dan advokasi kepada mereka termasuk tunjuk ajar cara pematuhan yang betul.

"Pemeriksaan semula akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan terus dipatuhi," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhairi berkata, pemeriksaan tersebut dibuat berlandaskan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

Secara keseluruhan tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan ditetapkan didapati berada pada tahap memuaskan.
Secara keseluruhan tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan ditetapkan didapati berada pada tahap memuaskan.

Jelas beliau, MPKL turut menjalankan semakan berkaitan lesen dan permit perniagaan selain memastikan pematuhan terhadap peraturan, undang-undang kecil serta kaedah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Kata Mohd Zuhairi, secara keseluruhan tahap pematuhan dalam operasi itu berada pada tahap memuaskan namun kerjasama berterusan akan diteruskan bagi mendidik dan mengawal selia peniaga.

Pemeriksaan semula akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan terus dipatuhi.
Pemeriksaan semula akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan terus dipatuhi.

"Dalam masa terdekat, KPDN akan melancarkan Program Pasar Patuh yang memberi tumpuan kepada pematuhan tanda harga seragam, penggunaan alat timbang sah serta persekitaran pasar yang lebih bersih dan kondusif.

"Tanda harga seragam akan dibekalkan kepada peniaga dan pemantauan akan dijalankan untuk memastikan pengguna tidak terus keliru atau terpedaya," katanya.

Jelas beliau, program perintis itu akan bermula di Selangor bulan hadapan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau turut mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi undang-undang, tidak mengambil kesempatan mencatut, memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas serta menggunakan alat timbang yang sah dan ditentusahkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!