LRA Pelubang dijangka beroperasi Disember, kemajuan projek melebihi jadual

ALOR SETAR - Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang mencapai tahap kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 62.5 peratus, melebihi daripada jadual ditetapkan sebanyak 62.3 peratus.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, kemajuan pembinaan yang direkodkan itu adalah 43 hari lebih awal berbanding jadual sebenar.
Menurutnya, kemajuan positif projek bernilai RM431 juta itu memungkinkan ia dapat disiapkan pada penghujung tahun ini.
"Dari segi kemajuan projek, BDB perlu memenuhi dan mematuhi masa ditetapkan, jadi kami harap pihak berkepentingan lain juga dapat memainkan peranan mereka bagi memastikan kerja pembinaan itu dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 di sini pada Khamis.
Raja Shahreen berkata, sebaik LRA Pelubang beroperasi, kemudahan itu dijangka meningkatkan akses kepada air terawat untuk penduduk di Kubang Pasu dan Kota Setar serta menyelesaikan masalah air yang sering berlaku di Kedah.
Menurutnya lagi, projek berkenaan turut berdepan beberapa cabaran besar dalam proses pembinaannya selepas diberikan tempoh lanjutan masa (EOT) sehingga 21 Disember ini.
"Dari segi masa, suka atau tidak ia sesuatu yang perlu kita penuhi, untuk pastikan kemajuan projek lancar, kita memerlukan kerjasama daripada pihak berkepentingan lain juga.“Ini bukan sekadar mengorek tanah. Terdapat juga isu yang melewatkan kerja-kerja antaranya berkaitan pengambilan tanah, permit dan infrastruktur sedia ada seperti jalan raya dan harta persendirian," jelasnya.
Raja Shahreen yakin BDB mempunyai sumber yang secukupnya bagi menyiapkan projek LRA berkenaan."Kami komited kerana mempunyai kekuatan kewangan dan keupayaan teknikal, namun kami juga harus mengambil kira faktor-faktor luaran lain," tambahnya.
Menurutnya, struktur LRA berkenaan sudah hampir siap dan hanya menunggu kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) dan apabila siap sepenuhnya, ia dapat meningkatkan peratusan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi."Apabila M&E ini sudah siap dipasang, dengan cepat ia boleh meningkatkan tahap kemajuan projek, mungkin capai sehingga 80 peratus,” ujarnya.Mengulas sama ada BDB bersedia untuk menyelamatkan projek LRA lain yang masih tertangguh di negeri ini, Raja Shahreen berkata, syarikat itu bersedia sekiranya khidmat BDB diperlukan.
"Kita tahu ada beberapa projek LRA lain yang 'sakit'. Sekiranya ada pihak mahu BDB menjadi kontraktor untuk projek yang perlu diselamatkan atau sebagai kontraktor penyelamat, kami bersedia.
“Kami sedia menawarkan khidmat berdasarkan sumber kewangan dan beberapa perkara lain, secara teknikalnya kami mampu," katanya.Pada Ogos lepas, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, LRA Pelubang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat loji berkenaan daripada 227 juta liter sehari (mld) kepada 454 mld setelah beroperasi.
Ia akan membekalkan air kepada sebahagian penduduk di Kota Setar, Kuala Kedah, Kubang Pasu, Sintok dan kawasan berdekatan.
Katanya, LRA Pelubang diberikan lanjutan masa (EOT) sehingga 21 Disember 2025 berikutan beberapa isu teknikal yang dialami sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!