'Peniaga guna tiga tong gas tak terlibat'

PELAKSANAAN Operasi Gas Memasak (Op Gasak) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berkaitan status subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) yang digunakan di rumah, penjaja dan restoran.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan kerajaan tidak memansuhkan subsidi LPG sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu, malah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat terhadap dasar sebenar kerajaan.
Beliau juga menekankan bahawa Op Gasak bukan dasar baharu sebaliknya satu tindakan penguatkuasaan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah dilaksanakan sejak pentadbiran terdahulu.
Ikuti temubual bersama Armizan mengulas isu ketirisan subsidi, penggunaan LPG oleh sektor komersial, risiko penyeludupan serta strategi masa depan dalam reformasi subsidi bersasar.
SINAR HARIAN: Wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat tentang status subsidi LPG. Adakah benar kerajaan kini sedang memansuhkan subsidi tersebut?
Armizan: Tidak benar. Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak pernah membuat keputusan baharu untuk memansuhkan subsidi LPG. Subsidi ini masih kekal dan diberikan untuk keperluan domestik rakyat.
Isu ini timbul kerana sesetengah pihak gagal memahami dasar yang telah lama berkuat kuasa dan malangnya ada juga sengaja mengelirukan rakyat dengan menimbulkan naratif bahawa kerajaan sedang menarik subsidi.
Apa yang sedang berlaku ialah pelaksanaan Op Gasak yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025. Ini merupakan operasi penguatkuasaan di bawah inisiatif ‘Kita Gempur’ iaitu satu gerakan membanteras penyelewengan barang kawalan dan ketirisan subsidi.

Bagaimana operasi ini boleh menimbulkan salah faham tentang pemotongan subsidi?
Op Gasak memfokuskan dua perkara utama. Pertama, mengekang penggunaan tong LPG bersubsidi oleh sektor industri dan komersial, khususnya restoran dan premis perniagaan berskala besar. Kedua, membanteras aktiviti decanting iaitu pemindahan haram gas dari tong subsidi ke tong tidak bersubsidi.
Aktiviti ini memberi pulangan keuntungan yang sangat besar kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Mereka jual pada harga pertengahan iaitu antara harga subsidi dan harga pasaran lalu membuat keuntungan atas angin. Malah ada yang menyeludup keluar negara, terutama ke sempadan seperti Thailand dan Indonesia.
Penguatkuasaan ini penting kerana subsidi sepatutnya untuk rakyat, bukan disalah guna oleh golongan peniaga untuk kepentingan perniagaan.
Apa asas undang-undang yang digunakan dalam Op Gasak?
Op Gasak dijalankan berdasarkan dua undang-undang utama iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Sementara itu, Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 juga menjadi rujukan khusus dalam isu LPG.
Peraturan 2021 menetapkan bahawa mana-mana premis yang menyimpan atau menggunakan melebihi 42 kilogram (kg) LPG iaitu bersamaan lebih tiga tong 14kg perlu mendapatkan permit barang kawalan berjadual daripada KPDN.
Jadi adakah semua restoran yang menggunakan LPG tertakluk kepada keperluan permit?
Tidak. Ini yang perlu difahami betul-betul. Premis makanan kecil atau rumah makan yang menggunakan kurang daripada tiga tong 14kg pada satu-satu masa tidak tertakluk kepada syarat permit.
Yang terkesan ialah restoran berskala besar, hotel dan dapur industri yang menggunakan lebih 42kg. Tujuan kita bukan untuk menghukum tapi untuk mengawal penyalahgunaan subsidi agar dana awam digunakan secara adil dan saksama.
Ada aduan restoran dikenakan tindakan walaupun masih menggunakan tong subsidi. Apa komen Datuk?
Kita perlu bezakan antara dokumen pemeriksaan rutin dan tindakan penguatkuasaan. Ada sesetengah pihak keliru apabila menerima Kenyataan Pemeriksaan Premis yang sebenarnya adalah satu borang standard pengesanan, bukan notis kompaun atau sitaan.
Kami masih dalam fasa advokasi. Pegawai KPDN memberi penerangan dan maklumat kepada peniaga agar mereka memahami peraturan yang telah lama berkuat kuasa. Kita beri masa untuk pematuhan, bukan terus ambil tindakan keras.
Bagaimana pula dengan kebimbangan bahawa langkah ini akan menyebabkan harga makanan naik?
Kita akui itu antara risiko yang mungkin berlaku. Tapi kita juga perlu tanya, adakah wajar subsidi diberikan secara pukal dan tanpa had kepada semua premis makanan termasuk yang jual makanan mahal?
Contohnya, restoran yang jual nasi ayam RM25 sepinggan tetap dapat subsidi sama macam restoran yang jual RM8? Itu tak adil. Kita perlu tengok keperluan sebenar mereka melalui sistem permit dan pemantauan.
Berapa kos yang ditanggung kerajaan untuk subsidi LPG ketika ini?
Terdapat peningkatan substantif bagi menampung kos subsidi LPG dari tahun ke tahun. Bagi tahun 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM3.4 bilion bagi subsidi LPG, meningkat daripada RM3.10 bilion dari tahun sebelumnya iaitu 2023. Saya kongsikan data beberapa tahun iaitu RM2.20 bilion pada tahun 2013, RM2.39 bilion (2018), RM2.54 bilion (2021) dan RM4 bilion (2022).
Subsidi ini tidak tetap kerana LPG tertakluk kepada harga pasaran global yang dipengaruhi oleh faktor geopolitik dan permintaan antarabangsa.
Adakah KPDN mencadangkan reformasi sistem subsidi pada masa hadapan?
Ya. Kita perlu bergerak kepada subsidi bersasar, bukan bersifat pukal. Saya lebih menyokong pendekatan subsidi melalui bantuan tunai langsung seperti Sumbangan Tunai Rakyat (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Kerajaan telah menambah peruntukan kepada RM13 bilion bagi 2025 berbanding RM10 bilion pada 2020. Kita juga laksanakan pelarasan gaji penjawat awam dengan peruntukan tambahan RM10 bilion tahun ini, dijangka meningkat ke RM18 bilion pada 2026.
Semua ini menunjukkan kerajaan serius dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup secara mampan, sambil mengukuhkan ruang fiskal negara.
Apa harapan Datuk kepada rakyat dan peniaga?
Saya harap rakyat jangan mudah terpengaruh dengan maklumat mengelirukan. Kita tidak tarik subsidi rakyat. Kita cuma mahu pastikan subsidi sampai kepada yang benar-benar layak.
Bagi peniaga pula, saya seru agar patuh kepada peraturan dan jika ada kekeliruan, sila berhubung dengan pejabat KPDN. Kita sentiasa terbuka untuk mendengar, memberi penerangan dan membimbing ke arah pematuhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!