Padang Stadium Darul Makmur terima pengiktirafan FIFA

Fadzli menerima Sijil FIFA Padang Stadium Darul Makmur disampaikan syarikat kontraktor diwakili Pengarah Eksekutif RS Greenmaster Sdn Bhd, Fauzita Sulaiman
pada Jumaat.
Fadzli menerima Sijil FIFA Padang Stadium Darul Makmur disampaikan syarikat kontraktor diwakili Pengarah Eksekutif RS Greenmaster Sdn Bhd, Fauzita Sulaiman pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf sebagai padang rumput asli pertama di negara ini yang memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pensijilan melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semula Jadi itu diperoleh setelah pihak perunding yang dilantik badan induk bola sepak dunia itu berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Darul Makmur menerusi penilaian penuh yang dijalankan pada 23 dan 24 April lalu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, melalui penilaian tersebut, padang yang dinaik taraf menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand dengan kos RM1.6 juta berjaya mendapat penarafan 'cemerlang' dengan markah 93 peratus.

Fadzli meninjau kualiti padang Stadium Darul Makmur yang siap dinaik taraf menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand.
Fadzli meninjau kualiti padang Stadium Darul Makmur yang siap dinaik taraf menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand.

Menurutnya, antara komponen utama penilaian penuh itu termasuk ujian iklim iaitu pengujian terhadap suhu persekitaran, kelembapan, kelajuan angin dan suhu tanah.

“Penilaian itu juga melibatkan ujian prestasi sukan iaitu mengenal pasti keadaan padang dari segi lantunan bola menegak, penyerapan hentakan bagi pergerakan bola, penyerapan tenaga menegak, pengembalian tenaga, rintangan putaran dan keseragaman.

“Seterusnya, ujian agronomik yang mengukur kekerasan permukaan, tahap pemadatan, kadar infiltrasi air, indeks keseragaman dan kepadatan tumbuhan, ketinggian potongan rumput, kedalaman akar, ketebalan timbunan rumput mati, warna rumput, liputan rumput di seluruh kawasan, kandungan rumpai, serangga perosak, penyakit, kandungan lembapan tanah, ujian pH dan analisis kesihatan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyerahan Sijil FIFA bagi Padang Stadium Darul Makmur di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Fadzli berkata, pengiktirafan FIFA itu menunjukkan bahawa padang tersebut dibina mengikut spesifikasi dan kualiti yang betul.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut juga menandakan kejayaan dalam aspek teknikal dan penyelenggaraan, sekali gus membuka peluang kepada Stadium Darul Makmur untuk menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak bertaraf antarabangsa.

“Padang yang memenuhi piawaian antarabangsa ini mampu membantu mengurangkan risiko kecederaan dan memberi ruang kepada peningkatan prestasi pemain menerusi pendekatan sains sukan.

“Dengan adanya padang yang diiktiraf FIFA ini, diharapkan dapat menarik lebih banyak acara sukan antarabangsa ke negeri ini, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan sukan,” ujarnya.

Tambah beliau, pensijilan FIFA yang diperoleh itu bukan sahaja merupakan satu pencapaian bersejarah, malah membuktikan bahawa dengan perancangan rapi, pelaksanaan berkesan dan komitmen berterusan, kerajaan negeri mampu menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di Pahang.

“Saya percaya, kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha penambahbaikan di Stadium Darul Makmur pada masa akan datang, bukan sahaja dari aspek fizikal dan teknikal, tetapi juga dari segi pengurusan dan operasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek naik taraf padang tersebut disiapkan melalui pembiayaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM500,000 dan RM1.1 juta oleh kerajaan negeri.

"Sejarah turut dilakar apabila rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam merupakan jenis terbaharu dalam industri rumput padang sukan dan pertama seumpamanya di negara ini.

“Kerja naik taraf padang ini telah siap sepenuhnya dan pembukaannya akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Jangkaannya mungkin dalam sebulan dua lagi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!