Kerajaan sentiasa utamakan MA63, bukan hanya pada musim PRN saja - PM

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sentiasa memberi keutamaan terhadap tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ia bukan sekadar dilaksanakan ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.
Beliau berkata, sejak lebih dua tahun mentadbir negara, kerajaan telah mengambil langkah konkrit untuk merealisasikan pelaksanaan MA63, termasuk menyelesaikan sembilan tuntutan utama yang tertangguh sekian lama.
"Selama ini kita ambil berat, ini bukan soal kerana ada PRN. Sebelum ini, sejak dua tahun lebih saya pegang, kita bagi keutamaan MA63 itu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama semua menteri dari Sabah dan Sarawak.
""Ini menunjukkan kesungguhan kita, sebab itu kita selesaikan sembilan perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun. Malah isu-isu yang lebih besar seperti berkaitan minyak, kita juga boleh selesaikan dengan Sarawak," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan pertemuan dengan pimpinan PH Sabah malam tadi.
Anwar turut menegaskan bahawa prinsip yang digunakan dalam menyelesaikan isu berkaitan Sarawak turut boleh diguna pakai di Sabah, demi memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
"Jadi kita usulkan prinsip yang sama supaya hasil yang lebih terjamin untuk Sabah, bukan untuk disalahgunakan. Bagi saya, soal ketelusan, tatakelola, itu keutamaan.
"Ini bukan untuk cari pemimpin yang berebut kekayaan mereka sendiri tetapi menggunakan kesempatan ini bagi membela nasib rakyat," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya juga yang telah mempertahankan hak Sabah berdepan dengan isu tuntutan pihak Sulu.
"Kerajaan inilah yang mempertahankan hak Sabah dalam urusan tuntutan dan serangan Sulu. Yang lebih penting, kita berjaya menepis dan mengalahkan tuntutan mereka.
"Ini soal maruah sebuah negeri dalam Malaysia. Kita ambil tindakan tegas dan berbelanja besar untuk mempertahankannya," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar semua pihak tidak memandang ringan usaha dan komitmen kerajaan dalam perkara ini.
"Jangan pandang remeh. Kalau tanya mengapa sebelum ini tidak berlaku perkara begini, ini kerana kita beri komitmen yang penuh termasuk dalam mesyuarat jemaah menteri," katanya.
Beliau turut berkata, komitmen itu turut dizahirkan pada peringkat serantau apabila kerajaan berjaya mempertahankan kepentingan Sabah dalam sidang ASEAN baru-baru ini.
"Malah dalam sidang ASEAN baru-baru ini, kita berjaya mempertahankan agar isu Sabah dan peranan pejabat ASEAN seperti Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kekal.
"Itulah usaha kita untuk mempertahankan kepentingan Sabah. Selebihnya adalah aspek pembangunan yang mesti kita teruskan. Sebab itu, setiap kali saya datang, saya dengar apa yang patut kita buat kemudian kita bawa ke mesyuarat jemaah menteri dan cuba laksanakan sebaik mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!