Dua lelaki didakwa belasah pegawai kastam guna kayu besbol

Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat.
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH – Seorang peniaga durian dan tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pegawai kastam dalam satu kejadian yang berlaku tiga minggu lalu.

Tertuduh, Ooi Kok Hwa, 42, dan Ang Chee Guan, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nor Azah Kasran, pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 53 tahun menggunakan sebatang kayu besbol.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira jam 6.45 pagi pada 8 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Y Yogeswaran.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis.

Bagaimanapun, Yogeswaran memohon jaminan minimum dengan alasan anak guam pertamanya, Kok Hwa yang bekerja sebagai peniaga durian berpendapatan RM2,500 sebulan, telah bercerai dan menanggung seorang anak.

Artikel Berkaitan:

Manakala Chee Guan pula perlu menyara dua anaknya dengan pendapatan RM2,200 sebulan sebagai tukang cat.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Julai depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!