Myanmar lanjut gencatan senjata sementara hingga 30 Jun bagi pembangunan semula

Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi bangunan yang rosak di Mandalay berikutan gempa bumi yang dahsyat pada 28 Mac. Foto AFP
Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi bangunan yang rosak di Mandalay berikutan gempa bumi yang dahsyat pada 28 Mac. Foto AFP
A
A
A

PHNOM PENH - Kerajaan Myanmar melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara yang berakhir pada Sabtu, sehingga 30 Jun bagi memudahkan usaha pembangunan semula serta persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Pejabat Panglima Angkatan Tentera Myanmar memaklumkan pada Ahad bahawa kerja-kerja pembinaan semula pejabat kerajaan, kediaman awam dan infrastruktur pengangkutan yang rosak akibat gempa bumi kini sedang giat dijalankan.

"Tatmadaw (angkatan tentera) melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara dari 1 hingga 30 Jun 2025 bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di kawasan terjejas akibat gempa bumi.

"Langkah ini juga bertujuan memastikan pilihan raya umum pelbagai parti dapat diadakan secara bebas dan adil, demi kepentingan negara dan rakyat, serta mencapai keamanan sejati yang berkekalan dan kestabilan nasional,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Panglima Angkatan Tentera.

Kerajaan merancang untuk mengadakan pilihan raya sama ada pada hujung tahun ini atau Januari 2026.

Tekanan serantau semakin meningkat terhadap kerajaan Myanmar supaya melanjutkan tempoh gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi pada 28 Mac lalu.

Pada April, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) untuk menghentikan konflik atas dasar kemanusiaan.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang baharu sahaja berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 27 Mei, para pemimpin serantau turut menggesa agar tempoh gencatan senjata dilanjut dan diperluas bagi memastikan bantuan dapat disampaikan tanpa halangan serta mengembalikan keamanan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Hampir 3,700 orang terkorban manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda pada 28 Mac. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!