Dua kereta terbalik, berpusing di lebuh raya

TAPAH - Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam nahas membabitkan dua kenderaan di lebuh raya dari Sungkai menghala ke Bidor sebagaimana video tular pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 11.45 pagi di Kilometer 349.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara itu, kedua-dua pemandu masing-masing wanita berusia 23 dan lelaki 42 tahun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza dipandu seorang wanita hilang kawalan lalu melanggar belakang Toyota Vios yang berada di lorong kiri lebuh raya.
"Akibat pelanggaran itu, Toyota Vios terbabas lalu berpusing dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan manakala Perodua Bezza turut berpusing dan terbalik di lorong kiri lebuh raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dengan dua lorong dipisahkan oleh pembahagi jalan dalam cuaca siang dan permukaan jalan kering.
Tambahnya, tiada tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
"Dalam kes ini, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang serta keseluruhan kenderaan," katanya.
Visual kejadian yang dirakam kamera papan pemuka atau dashcam tersebut menunjukkan dua kereta berpusing dengan sebuah daripadanya terbalik.
Keadaan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna jalan raya dan warganet yang meluahkan rasa cemas melihat situasi yang hampir meragut nyawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!