'Tiada lagi pesanan semangat dari ayah'

PETALING JAYA - "Tiada lagi kiriman kata-kata semangat dan pujian ayah kepada kami."
Demikian luahan sayu Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin, ketika mengenang pemergian bapa mentuanya, Allahyarham Suleiman Saa’id yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kelana Jaya pada Selasa.
Allahyarham menghidap komplikasi paru-paru serta beberapa penyakit kronik lain dan menghembuskan nafas terakhir selepas sempat bertemu cucu-cucunya malam Isnin lalu, kira-kira 10 minit sebelum meninggal dunia.
Menurut Farah, Allahyarham merupakan seorang insan yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan rapat dengan anak, menantu serta cucunya.

"Ayah seorang insan yang sangat hebat, sering menitipkan pesanan serta kata-kata semangat kepada kami menerusi WhatsApp.
"Walaupun perkara itu kecil, ayah tetap menghargainya, beliau rajin menghantar mesej positif, memberi semangat dan memuji usaha kami, termasuklah saya, menantunya," kata Farah ketika ditemui di kediamannya pada Selasa.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, dua orang anak termasuk suami Farah, Dili Mawardi yang merupakan anak bongsunya serta tiga orang cucu.
"Kami bawa ayah balik ke rumah di Kelana Jaya supaya lebih mudah untuk kami menjaganya bersama adik-beradik lain yang tinggal berdekatan.
"Semalam, anak-anak saya sempat berjumpa arwah, dalam masa 10 minit sebelum dia nazak, anak dan cucunya sempat menatap wajahnya buat kali terakhir," katanya.
Antara momen yang tidak dapat dilupakan Farah adalah ketika suaminya mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.
"Suami saya sebak seketika. Dia kata terasa seolah-olah terdengar suara ayah memujinya ketika menjadi imam.
"Ayah panggil dia Adik dan selalu kata, Adik ni hebat, ayat-ayat ringkas itu sangat besar kesannya pada suami dan saya harap semangat serta kata-kata positif itu akan turun kepada anak kami," katanya.

Farah turut berkongsi sifat Allahyarham yang tidak pernah menghakimi atau merendahkan orang lain, malah sentiasa menghargai usaha walau sekecil mana sekalipun.
"Saya bukan pandai masak, tapi apa pun yang saya masak, ayah tetap hargai. Dia tidak pernah kritik, sebaliknya akan kata sedap atau terima kasih, itu yang buat kita rasa dihargai dan bersemangat.
"Sepanjang 15 tahun saya berkahwin, setiap minggu mesti ada mesej atau pesanan positif dari ayah, saya amat tersentuh apabila kehilangannya," katanya.
Allahyarham Suleiman Saa’id selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!