'Beri kami elaun bulanan tetap untuk terus aktif '

KOTA BHARU – Bagi atlet para Kelantan, Wan Nur Azri Wan Azman, 28, keinginan untuk terus mewakili negeri tidak pernah pudar, namun kekangan kewangan yang berpanjangan memaksanya menyuarakan nasib mereka.
Menurutnya, atlet para berlatih sepanjang tahun, namun hanya menerima elaun atau bantuan kewangan sewaktu temasya berlangsung, menyebabkan ramai terpaksa memikul beban kos latihan sendiri.
“Latihan tak pernah berhenti. Tapi apabila tiada kejohanan, langsung tak ada bantuan.
“Kalau dapat elaun tetap, sekurang-kurangnya boleh tampung tambang, makanan dan keperluan asas latihan,” katanya.
Wan Nur Azri berkata, bukan semua atlet para bekerja atau mempunyai pendapatan tetap, apatah lagi mereka turut memerlukan peralatan khas dan sokongan pemulihan fizikal yang lebih mahal daripada biasa.
Katanya, situasi ini menyebabkan ada rakan-rakan seangkatan mula menarik diri daripada sukan kerana tidak mampu bertahan dari segi ekonomi.
“Bukan sebab tak minat. Tapi kalau tiap kali nak ke latihan pun kena fikir duit tambang atau terpaksa pinjam, sampai bila boleh tahan?” ujarnya.
Dia turut menyentuh keperluan jangka panjang untuk kemudahan latihan tetap dan mesra OKU, namun menegaskan bantuan kewangan tetap lebih mendesak pada masa ini.
“Tempat latihan khas penting, tapi elaun tetap lebih utama. Ia boleh bantu kami terus aktif walaupun tak ada kejohanan besar,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!