[VIDEO] Lelaki kelar isteri hingga mati direman, laung takbir dalam lokap mahkamah
TANGKAK – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang juga penganggur disyaki mengelar isterinya sehingga maut dalam satu kejadian di sebuah rumah di Bukit Gambir, di sini pada Isnin, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Lee Kim Keat, selepas permohonan dikemukakan oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Suspek direman bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi melengkapkan siasatan kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kerana melakukan khianat dengan api.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu kelihatan tenang sebaik tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba meraung, melaungkan takbir dan dua kalimah syahadah dengan suara yang kuat ketika berada dalam lokap mahkamah berkenaan.
Permohonan reman itu mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum suspek dibawa semula menaiki trak polis untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan dipercayai bertindak mengelar isterinya di sebuah kediaman yang didiami pasangan itu di Bukit Gambir.
Susulan kejadian itu, suspek dilaporkan cuba membakar rumah ibu mentuanya yang terletak di Lenga, Pagoh, kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tindakan suspek tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.
Menurut sumber, hasil tindakan pantas pihak polis, suspek berjaya diberkas di lokasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!