Isu pencen pesara ATM: Rayuan kerajaan dibenarkan, tiada diskriminasi

Hanif Khatri ketika ditemui pemberita selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada Rabu.
Hanif Khatri ketika ditemui pemberita selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tidak berlaku diskriminasi yang melanggar Perlembagaan terhadap pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung isu pelarasan pencen.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Hashim Hamzah, sekali gus membenarkan rayuan Kerajaan Malaysia, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi pihak pada Rabu.

Panel tersebut turut dianggotai oleh Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim.

Ketika membacakan ringkasan keputusan, Kian Kheong menegaskan bahawa tindakan kerajaan dalam isu tersebut berasaskan perbezaan yang munasabah dan tidak menyalahi Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan.

Menurutnya, perbezaan antara pesara sebelum 1 Januari 2013 (pesara pra-2013) dan selepas tarikh tersebut (pesara pasca-2013) adalah sah di sisi undang-undang kerana ia berpunca daripada pelaksanaan dua dokumen kerajaan, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat Perkhidmatan ATM bertarikh 17 Januari 2013 (CPI) dan Surat Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JJMM).

“Kedua-dua dokumen tersebut bukanlah pelarasan gaji untuk pesara, sebaliknya pindaan kepada syarat-syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih berkhidmat.

“Objektifnya adalah untuk menambah baik dan menyeragamkan skim gaji anggota yang sedang berkhidmat, bukan untuk mendiskriminasikan pesara.

“Dalam kes ini, tidak ada layanan yang tidak sama antara pesara pra-2013 dan pasca-2013 kerana pelarasan pencen juga tidak diberikan kepada pesara pasca-2013,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menegaskan bahawa wujud pengelasan yang munasabah antara kedua-dua kategori pesara, dan ia mempunyai hubungan (nexus) yang jelas dengan objektif dasar tersebut.

Beliau menyimpulkan bahawa tindakan kerajaan adalah berkadar dan wajar kerana bertujuan untuk mempertingkat skim perkhidmatan anggota tentera yang masih dalam perkhidmatan.

“Pesuruhjaya kehakiman telah terkhilaf dari sudut undang-undang apabila memutuskan bahawa wujud diskriminasi yang tidak berperlembagaan. Keputusan kerajaan adalah munasabah,” jelasnya.

Dengan keputusan ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Kerajaan Malaysia dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memihak kepada kumpulan pesara.

Terdahulu, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan oleh Mior Rosli Mior Md Jaafar bersama 49 veteran ATM lain pada 17 November 2022. Mereka menuntut pelarasan pencen bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Dalam saman tersebut, plaintif menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan, dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan pertama hingga keempat.

Plaintif memohon pengisytiharan bahawa pihak defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972, kerana gagal menyelaras pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Mereka turut memohon agar pencen pesara diselaras mengikut kadar dan cara sebagaimana yang diterima oleh pesara selepas 1 Januari 2013. Selain itu, mereka memohon agar Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 dipinda untuk memasukkan peruntukan mengenai penyelarasan pencen tersebut.

Plaintif mendakwa ketidakselarasan pencen itu merupakan pelanggaran hak asasi di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan dan menyebabkan jurang ketara antara dua kumpulan pesara ATM.

Sementara itu, peguam yang mewakili pesara ATM, Hanif Khatri Abdulla memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti alasan penghakiman sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kami ada 30 hari dan dalam kes ini, tahap tertinggi adalah Mahkamah Persekutuan. Untuk ke sana kami perlu failkan dan memperoleh kebenaran untuk merayu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!