Pempengaruh usia 17 tahun maut ditembak dalam rumah

ISLAMABAD - Seorang pempengaruh, Sana Yousaf, 17 dilaporkan maut ditembak di kediamannya di Islamabad, Pakistan pada Isnin.
Menurut laporan stesen penyiaran Pakistan, Samaa TV, remaja perempuan itu merupakan seorang pencipta kandungan TikTok terkenal dari daerah Chitral Atas, Khyber Pakhtunkhwa yang mempunyai hampir 500,000 pengikut di Instagram, dipercayai ditembak oleh saudara maranya.
Menurut seorang pegawai polis, insiden berlaku di rumah mangsa di Seksyen G-13, di mana suspek dikatakan berbual dengan mangsa di luar rumah sebelum masuk dan melepaskan tembakan.
“Suspek memasuki rumah, menembak mangsa beberapa kali, kemudian melarikan diri.
“Mangsa dilaporkan terkena dua das tembakan pada jarak dekat dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayatnya telah dihantar ke Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) untuk bedah siasat,” katanya.
Kata polis, setakat ini, tiada tangkapan dibuat namun pihaknya sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan pembunuhan kerana maruah keluarga (‘honour killing’).
Sana dikenali melalui video TikToknya dan aktif menyuarakan isu berkaitan kebanggaan budaya, hak wanita, dan kesedaran pendidikan, terutamanya berkaitan dengan tradisi masyarakat Chitrali.
Sana juga merupakan anak kepada seorang aktivis sosial tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!