JPV kesan lori pindah 10 ekor lembu secara haram

IPOH - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak berjaya mematahkan cubaan memindahkan 10 ekor lembu hidup secara haram di Gerik melalui Ops Korban Mega pada malam Selasa.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, operasi tersebut dilaksanakan sepasukan anggota penguat kuasa JPV Perak dan JPV Cawangan Baling, Kedah.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa tersebut berjaya menahan kenderaan tersebut pada jam 10 malam di tepi jalan berhampiran Kampung Pahit Luar, Gerik.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pindah.
"Modus operandi dengan menutup keseluruhan bahagian belakang menggunakan kanvas bagi mengaburi mata penguat kuasa juga gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Saifullizam berkata, kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau memaklumkan melalui Ops Korban Mega sempena sambutan Aidiladha yang dilaksanakan setakat ini, JPV Perak telah berjaya mematahkan empat cubaan memindahkan ternakan tanpa kebenaran sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!