Jemaah wanita tidak digalakkan niat haji bersyarat

LEBIH baik bagi wanita untuk berniat haji secara biasa sahaja. - Foto TABUNG HAJI
LEBIH baik bagi wanita untuk berniat haji secara biasa sahaja. - Foto TABUNG HAJI
A
A
A

JEMAAH wanita tidak disyorkan untuk berniat haji secara bersyarat kerana mempunyai tempoh yang agak panjang di Tanah Suci.

Timbalan Mufti Perlis merangkap Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji, Tajul Urus Abdul Halim berkata, oleh itu adalah lebih baik bagi wanita untuk berniat haji secara biasa sahaja.

“Kalau niat bersyarat, mungkin ada risiko haji itu terjejas atau terlucut sekiranya syarat yang diletakkan tidak berlaku. Maka sebab itu kita syorkan kepada wanita supaya tidak berniat haji secara bersyarat,” katanya.

Jelas beliau, antara kekeliruan yang sering timbul ialah berkenaan keadaan haid dalam kalangan jemaah wanita sama ada sebelum atau selepas berniat ihram.

USTAZ TAJUL URUS
USTAZ TAJUL URUS

“Apa yang paling penting ialah jemaah wanita mesti berniat ihram haji sama ada dia dalam keadaan haid atau tidak. Semasa dia nak turun daripada hotel ataupun di miqat masing-masing, dia kena niat haji.

“Tidak ada kaitan sama ada dia haid pada masa itu ataupun haid selepas itu. Kerana kalau dia tak niat, menyebabkan akan dia tidak dapat untuk laksanakan haji,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan bahawa wanita yang dalam keadaan haid masih boleh meneruskan kebanyakan ibadah haji seperti wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar jamrah.

“Hanya tawaf sahaja yang perlu ditangguhkan sehingga haidnya benar-benar suci. Tetapi selain itu, semua rukun dan wajib haji lain boleh dilaksanakan tanpa masalah,” katanya.

Tambahnya, adalah penting untuk para jemaah wanita mendapat maklumat tepat dan jelas sebelum memulakan perjalanan haji agar tidak timbul sebarang kekeliruan semasa di Tanah Suci.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!