Amir Ukays dakwa ditipu tawaran haji percuma guna visa Mujamalah

SEPANG – “Dua minggu sebelum berlepas, kami dilarang untuk pergi atau menghubungi ejen yang menguruskan perjalanan kami ke Tanah Suci.”
Demikian luahan penyanyi terkenal era 90-an, Amir Ukays atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, apabila beliau dan isterinya, Sarimah Ahmad, mendakwa telah ditipu menerusi tawaran menjalani ibadah haji secara percuma menggunakan visa Mujamalah.
Menurut Amir, mereka mempercayai tawaran tersebut kerana menerima surat panggilan mengerjakan haji daripada sebuah agensi pelancongan terkemuka yang didakwa berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).
“Selain surat panggilan, kami turut dimaklumkan akan menggunakan visa Mujamalah iaitu pakej VVIP, menaiki pesawat sewa khas, dan semua kos serta perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak penaja.
“Namun apabila disemak semula pada surat tawaran yang diterima, nama kami hanya dicalonkan dan bukannya disenaraikan sebagai jemaah yang telah terpilih. Perkara ini hanya disedari selepas kami membuat semakan bersama pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu, Amir dan isterinya mengadakan sidang akhbar selepas mereka dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej haji oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sinar Harian difahamkan bahawa seramai 80 jemaah lain turut dipercayai terperdaya dengan pakej haji yang ditawarkan menerusi visa Mujamalah tersebut.
Mengulas lanjut, Amir berkata, mereka menerima tawaran berkenaan daripada seorang kenalan pada 9 April lalu.
Menurutnya, mereka menerima surat tawaran pada 27 Mei dan dijadualkan berlepas ke Jeddah pada 1 Jun.
Namun, katanya, pihak yang bertanggungjawab menguruskan jemaah tidak kelihatan di balai berlepas dan pasport mereka dipegang oleh beberapa individu tertentu.
“Sehingga ke hari terakhir yang dijanjikan untuk berlepas pada 3 Jun (Selasa), pihak pengurusan masih tidak muncul, dan pasport kami masih berada dalam simpanan mereka,” ujarnya dengan nada kecewa.
Ketika ditanya mengenai status pesawat, Amir menjelaskan bahawa beliau telah membuat semakan dan mendapati pesawat yang dimaksudkan memang wujud.
Selain itu, katanya, kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk jemaah haji yang menyertai pakej tersebut turut dikawal sepenuhnya oleh pentadbir, berbeza dengan sebelum ini apabila semua jemaah boleh mengajukan soalan secara terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!