Malaysia–Thailand sepakat wujud mekanisme awal elak banjir Sungai Golok

GENEVA – Malaysia dan Thailand mencapai kesepakatan untuk mewujudkan mekanisme pemakluman awal pelepasan air empangan bagi mengelakkan kejadian banjir besar di kawasan sempadan, khususnya di sekitar Sungai Golok, Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya yang juga Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul, di sela-sela persidangan Eight Session of the Global Platform for Disaster Risk Reduction di Geneva, pada Khamis.
“Saya membangkitkan isu limpahan air luar biasa dari jajaran Thailand ke Sungai Golok yang telah menyebabkan paras air meningkat melepasi tahap normal dan merosakkan struktur benteng di kawasan jajaran Malaysia.
“Situasi ini berpunca daripada pelepasan air susulan siapnya projek tebatan banjir di sebelah Thailand,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut beliau, Malaysia mencadangkan supaya sebarang pelepasan air dari empangan di Thailand dimaklumkan tiga hingga empat hari lebih awal bagi membolehkan langkah persediaan dan amaran awal kepada penduduk dilaksanakan dengan berkesan.
“Alhamdulillah, cadangan ini diterima dan dipersetujui. Mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di kedua-dua negara,” jelas beliau.
Ahmad Zahid turut menyambut baik pemeteraian perjanjian projek Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang–Sungai Golok serta pelaksanaan kerja mendalamkan muara sungai dan pembinaan benteng yang dijadual bermula Oktober ini.
“Saya yakin langkah yang dipersetujui hari ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan keselamatan sempadan.
“Semoga hubungan erat Malaysia–Thailand terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!