Pearly-Thinaah buat Istora Senayan tergamam

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menumpaskan pasangan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti dalam aksi pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025 di Istora Senayan, Jakarta pada Khamis.
Pasangan negara itu mempamerkan semangat juang tinggi dalam pertarungan sengit selama 59 minit sebelum mencatat kemenangan 18-21, 21-16, 21-17.
Kemenangan itu bukan sahaja bermakna dari segi kemaraan ke pusingan seterusnya, malah turut menjadi penebus maruah selepas Lanny-Siti Fadia menyingkirkan pasangan Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dalam pusingan pertama pada Rabu.
Pearly-Thinaah juga berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang serta menahan tekanan daripada sorakan padu penyokong tuan rumah yang memenuhi arena berprestij itu.
Dalam saingan beregu lelaki, pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas mengatasi cabaran sengit rakan sepasukan, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi.
Walaupun turun selaku pilihan ketujuh dan naib juara edisi lalu, Wei Chong-Kai Wun tidak diberi laluan mudah apabila Roy King-Wan Arif memberikan tentangan hebat terutamanya dalam set pertama.
Bagaimanapun, pengalaman dan ketenangan mereka membuahkan hasil dengan kemenangan 14-21, 21-11, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 50 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!