Tukang jahit mengaku tidak bersalah cabul remaja OKU

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa di tandas sebuah pusat latihan kemahiran di Taman Keramat pada jam 6.30 petang, awal Mei lalu. Foto hiasan
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa di tandas sebuah pusat latihan kemahiran di Taman Keramat pada jam 6.30 petang, awal Mei lalu. Foto hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang tukang jahit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), bulan lalu.

Muhammad Arif Zulfakar Abdul Razak, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa di tandas sebuah pusat latihan kemahiran di Taman Keramat, di sini, pada jam 6.30 petang, awal Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Lingswaran Singh merayu agar Muhammad Arif diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Nurulizwan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes untuk serahan dokumen pada 21 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!