Guru besar hilang ketika cari kerbau ditemui lemah

BEAUFORT - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis ditemui selamat dalam keadaan lemah selepas dipercayai sesat di hutan ketika mencari kerbau yang terlepas di Kampung Nabahan, Weston, dekat sini.
Mangsa yang juga seorang guru besar berusia 52 tahun disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 11.30 pagi selepas tidak pulang ke rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.14 pagi Jumaat.
"Menurut laporan, adiknya memaklumkan bahawa mangsa dipercayai sesat di hutan semasa mencari kerbau yang terlepas di kawasan kampung tersebut.
"Namun, kehilangan mangsa hanya disedari pada jam 11.30 pagi apabila dia tidak pulang ke rumah.
"Satu laporan polis telah dibuat sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Susulan laporan tersebut, katanya, seramai empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak kira-kira 33 kilometer dari BBP Beaufort.
"Pasukan kami ke lokasi menggunakan bot dari Jeti Weston, menyeberangi sungai menuju ke Kampung Nabahan untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Hasil pencarian, mangsa berjaya ditemui pada jam 12.40 tengah hari oleh anaknya sendiri bersama penduduk kampung, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia hilang.
"Mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun lemah dan kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kundu Suasa," katanya.
Ishak berkata, susulan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 3 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!