Jejak import Selangor FC di Piala Dunia 2026

SORAKAN kebanggaan bergema di kem Selangor FC apabila enam bintang gergasi Liga Malaysia (Liga-M), termasuk dua tonggak semasa dan empat bekas pemain import The Red Giants, mengukir sejarah gemilang dengan mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026.
Ini bukan sahaja pencapaian peribadi yang luar biasa buat mereka, malah menjadi suntikan semangat buat gergasi Liga-M itu yang telah menjadi saksi perjalanan cemerlang pemain-pemain ini di pentas antarabangsa.
“Selangor FC mengucapkan tahniah kepada dua pemain, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi, serta bekas tonggak utama Red Giants, Ali Olwan, Yazan Al-Arab, Reziq Bani Hani dan Umar Eshmurodov atas pencapaian bersejarah mereka melayakkan diri ke Piala Dunia 2026,” kata naib juara Liga Super 2024/25 itu.

Menurut The Red Giants, Jordan yang diterajui oleh Yazan Al-Arab berjaya menempah tiket ke Piala Dunia buat julung kalinya selepas mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Oman.
“Kemenangan bersejarah ini diserlahkan dengan hatrik cemerlang daripada Ali Olwan, manakala sumbangan penting Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi turut memainkan peranan utama dalam kejayaan ini.
“Umar Eshmurodov turut mengukir sejarah buat negaranya apabila Uzbekistan berjaya menempah slot pertama mereka ke Piala Dunia setelah seri tanpa jaringan 0-0 menentang Emiriah Arab Bersatu,” kata kelab itu.
Tambah juara Piala Cabaran itu, dedikasi dan persembahan cemerlang semua pemain ini bukan sahaja membawa kebanggaan kepada negara masing-masing, malah turut membanggakan seluruh keluarga Selangor FC.
“Pihak kelab amat berbangga dengan pencapaian luar biasa ini dan mendoakan kejayaan berterusan buat mereka di pentas bola sepak terbesar dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!