Lima sekeluarga maut: Bezza buat pusingan U sebelum bertembung Toyota Alphard

JERANTUT – Pemandu Perodua Bezza yang dinaiki lima sekeluarga dan maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerantut–Maran di sini awal pagi Sabtu, dipercayai membuat pusingan U di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kemalangan itu kira-kira jam 12.40 tengah malam.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun bersama dua penumpang termasuk seorang wanita warga Thailand dipercayai dalam perjalanan dari Maran menghala ke bandar Jerantut.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa MPV tersebut sedang bergerak lurus, Perodua Bezza yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut sebelum berlaku perlanggaran.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Bezza, Mohamad Ikmal Ishak, 26, beralamat di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Turut maut di tempat kejadian ialah isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, serta tiga adik-beradik wanita itu: Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21; Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19; dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17,” katanya.
Zukri berkata, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
“Pemandu Alphard dan dua penumpangnya yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Jelas beliau, kemalangan tragik yang meragut lima nyawa sekeluarga itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, saksi di tempat kejadian akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!