3 maut bot terbalik: Insiden berlaku ketika bot sedang diuji pandu

PELABUHAN KLANG - Bot yang terbalik dalam insiden meragut nyawa tiga individu termasuk seorang kanak-kanak serta menyebabkan pasangan suami isteri masih hilang di perairan Tanjung Harapan di sini pada Jumaat, dipercayai sedang diuji pandu ketika kejadian.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan merupakan milik salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian.
“Semakan mendapati mangsa yang masih belum ditemui ini dipercayai sedang menguji pandu bot yang baru dibaiki sebelum kejadian.
“Bot ini dipandu uji dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang,” katanya pada Sabtu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, bot milik mangsa itu sebelum ini mengalami kerosakan dan selepas dibaiki, mangsa memandu uji bot berkenaan dengan membawa bersama ahli keluarga dan rakan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati usaha mencari dan menyelamat dua mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan oleh Maritim Malaysia.
Turut membantu operasi ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga individu, termasuk seorang kanak-kanak, maut manakala sepasang suami isteri masih hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
Sementara itu, mangsa yang disahkan maut dalam insiden ini ialah Darren Gan, 3, anak kepada pasangan yang hilang; serta Cheu Son Hin, 50, yang ditemukan dalam ruang hadapan bot.
Turut terkorban ialah Fong Yong Sen, 29, rakan kepada pasangan berkenaan, yang dijumpai telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!