Lelaki maut, kereta bertembung treler

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung treler dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Lipis–Merapoh.
Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung treler dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Lipis–Merapoh.
A
A
A

LIPIS – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 24, Jalan Lipis–Merapoh, berhampiran Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Mohd Ghazali, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu treler berusia 41 tahun serta pemandu dua lagi kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika treler membawa muatan kayu dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Selangor, manakala tiga kereta terlibat datang dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler,” katanya.

Ismail berkata, akibat pertembungan itu, treler terbabit turut tergesel dengan dua lagi kereta di lorong bertentangan.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan ini diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!