Tawar ansuran serendah RM100 sebulan, mudahkan orang ramai tunai ibadah korban

Sukarelawan membuat agihan daging korban di Ladang Alaf, Jalan Kulai - Kota Tinggi.
Sukarelawan membuat agihan daging korban di Ladang Alaf, Jalan Kulai - Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor memperkenalkan program Smart Qorban bagi memudahkan orang ramai melakukan ibadah berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal, ibadah korban kini boleh dilakukan dengan bayaran ansuran serendah RM100 sebulan.

“Alhamdulillah, kita dah masuk tahun keenam laksanakan ibadah korban ini dan sambutan yang kita terima semakin meningkat dan menggalakkan. Ini kerana peserta hanya perlu mula bayar sebanyak RM100 sebulan bermula dari bulan Muharram lagi; jadi bila tiba masa korban, taklah rasa terbeban sangat.

“Katakanlah harga penuh satu bahagian korban ialah RM800, melalui kaedah ansuran ini, peserta mampu merancang kewangan lebih baik tanpa menangguhkan niat berkorban mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Roziah, melalui Smart Qurban, faedah khairat kematian juga disediakan bagi peserta di bawah usia 70 tahun.

Katanya, kaedah ini dilihat sebagai, satu inisiatif yang menjadikan program berkenaan lebih inklusif.

“Kita juga sediakan faedah khairat kematian dalam Smart Qurban ini. Sebagai contoh, kalau baru bayar RM200 tapi ditakdirkan meninggal dunia, kita tetap akan teruskan korban bagi pihak peserta tersebut.

“Ini kerana, niat dah ada dan bayaran pun dah bermula. Jadi kita gunakan faedah khairat kematian itu bagi membantu menyelesaikan bahagian yang selebihnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Roziah berkata, pengenalan Smart Qurban ini juga telah terbukti keberkesanannya apabila program tersebut berjaya mengorbankan 41 lembu sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Malah katanya, kesemua haiwan tersebut dari ladang yang diusahakan dan dimiliki sendiri oleh Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor.

Selain itu jelasnya, program Smart Qurban turut menawarkan perkhidmatan penghantaran daging ke rumah yang diuruskan oleh sukarelawan terdiri dalam kalangan jemaah mereka.

“Kalau peserta ambil satu pertiga bahagian, sukarelawan kami akan hantar terus ke depan pintu. Sukarelawan pun bukan orang luar, semua dalam kalangan komuniti kita juga.

“Insya-ALLAH, dengan gabungan kaedah pembayaran yang mudah, pengurusan tersusun, dan semangat gotong-royong berjemaah, Smart Qurban kini menjadi contoh model pelaksanaan ibadah korban yang praktikal dan mesra masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 41 ekor lembu dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.

Proses sembilahan, melapah, agihan dan penghantaran daging korban dilakukan oleh sukarelawan dari ladang berkenaan.

Proses tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga hari di Ladang Alaf, Jalan Kota Tinggi – Kulai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!