Penipuan pakej haji satu jenayah besar, perlu tindakan tegas – Mohd Na’im

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa kegiatan penipuan pakej haji menggunakan visa pelancong merupakan satu jenayah besar yang perlu dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata demikian susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji membabitkan rakyat Selangor, khususnya mereka yang terkandas selepas menggunakan visa pelancong.
“Titah tersebut memperlihatkan keprihatinan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat yang sentiasa memelihara kebajikan umat Islam, terutamanya dalam urusan ibadah haji,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Na’im turut menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Sultan Selangor agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan.
“Perbuatan menipu atas nama agama dan ibadah haji adalah satu jenayah besar, bukan sahaja dari sudut undang-undang, malah juga dari sudut syarak kerana ia mempermainkan kesucian ibadah dan memperjudikan keselamatan jemaah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada 3 Jun lalu, media melaporkan kira-kira 80 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati menggunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya telah menerima tujuh laporan daripada bakal jemaah berkenaan.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 39 tahun itu direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata pihaknya menghargai tindakan proaktif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyeru agar mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa selain menasihati orang ramai supaya hanya berurusan dengan ejen berlesen serta melalui saluran rasmi seperti Lembaga Tabung Haji.
Menurut beliau, umat Islam diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pakej haji mencurigakan, khususnya yang menggunakan visa pelancong.
“Mereka juga dinasihatkan supaya menyemak latar belakang syarikat atau ejen haji menerusi saluran sah seperti Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan atau penyalahgunaan dalam urusan ibadah haji, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MOTAC dan semua Majlis Agama Islam Negeri bagi membanteras jenayah tersebut secara menyeluruh.
“Semoga segala usaha ini menjadi medan untuk kita mempertahankan kesucian ibadah haji dan memastikan umat Islam dapat menunaikannya dengan selamat, sah dan diberkati ALLAH SWT,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!