Pelantikan ketua kampung di Johor berdasarkan merit – Mohd Hairi

Mohd Hairi (berdiri, lima dari kanan) bersama petugas Majlis Korban Perdana di Surau Jumaat, Taman Skudai Kanan, pada Ahad.
Mohd Hairi (berdiri, lima dari kanan) bersama petugas Majlis Korban Perdana di Surau Jumaat, Taman Skudai Kanan, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Proses pelantikan ketua kampung di Johor akan dilaksanakan secara telus dan berasaskan merit, kata Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau berkata, setiap calon yang dicadangkan perlu menjalani proses saringan awal dan sesi temu duga yang dikendalikan oleh pejabat daerah sebelum dibawa kepada pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

"Penilaian ini bukan sekadar melihat kepada kelayakan akademik atau pengalaman sahaja, malah turut mengambil kira latar belakang calon dalam komuniti setempat.

"Ini termasuk rekod perkhidmatan, sumbangan kepada masyarakat serta tiada kepentingan peribadi dalam pelantikan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Korban Perdana di Surau Jumaat, Taman Skudai Kanan, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi menjelaskan walaupun terdapat pandangan atau cadangan daripada Ketua Bahagian atau Exco tertentu, keputusan akhir tetap bergantung kepada merit dan penelitian mendalam oleh pihak kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohd Hairi turut menepis dakwaan pihak yang cuba mempolitikkan isu pelantikan ketua kampung di Johor.

Tegasnya, urusan pelantikan berkenaan dijalankan secara adil tanpa mengira latar belakang politik.

“Kalau ada yang bangkitkan isu ini, kita sedia beri penjelasan, jangan hanya tuduh tanpa bukti kerana kita terbuka kepada semakan semula sekiranya ada keperluan agar keputusan yang dibuat tidak menimbulkan rasa muak atau tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu wujud unsur manipulasi dalam proses ini sehingga menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan. Apa yang penting ialah ketua kampung yang dilantik benar-benar mampu berkhidmat untuk komuniti, bukan demi kepentingan individu atau kelompok,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!