Lee Jae-myung, dari kilang ke Rumah Biru

SEOUL - Sebelum krisis politik tercetus pada 3 Disember lalu, laluan untuk Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae-myung untuk memegang tampuk pemerintahan agak samar-samar.
Sebanyak lima kes mahkamah termasuk melibatkan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang masih berjalan dilihat menjadi halangan utama kepada beliau untuk merealisasikan impiannya menerajui Rumah Biru.
Tetapi, krisis Perlembagaan itu telah mengubah segala-galanya dek tindakan melulu pendahulunya, Yoon Suk Yeol yang mengisytiharkan undang-undang tentera hingga membawa kepada pemecatannya.
Kira-kira enam bulan selepas pergolakan dalaman itu, rakyat Korea Selatan akhirnya memberi mandat kepada calon Parti Demokratik (DP) tersebut untuk mengemudi negara.

Ia merupakan percubaan ketiga calon liberal tersebut untuk bergelar Presiden setelah menewaskan pesaing utamanya daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP), Kim Moon-soo.
Peralihan kuasa itu memberi cabaran getir buat Jae-myung, 61, kerana beliau memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan semula kestabilan negara tersebut yang 'huru-hara' kerana keputusan Suk Yeol yang kini berdepan tuduhan melakukan pemberontakan.
Jae-myung perlu bertindak segera menangani beberapa isu domestik yang terpaksa diketepikan ketika Seoul menghadapi krisis politik terbesar dalam tempoh beberapa dekad.
Antara isu yang perlu diberi perhatian oleh beliau adalah ketidaksamaan pendapatan, kos sara hidup yang melambung tinggi dan menghidupkan semula rundingan damai bersama Pyongyang berikutan situasi yang semakin tidak menentu di Semenanjung Korea.
Tetapi, hal itu pastinya tidak menjadi masalah buat beliau yang pernah berdepan waktu lebih sukar ketika terpaksa menjadi buruh bawah umur sebelum terjun ke arena politik.
Hidup susah
Lee Jae-myung dilahirkan pada 1963 atau 1964 dalam keluarga miskin di Andong (tarikh kelahirannya tidak didaftarkan secara rasmi dan tidak dapat dipastikan secara tepat).
Beliau tidak mendapat pendidikan awal secara formal kerana jarak sekolah rendah yang agak jauh dari rumah keluarganya dan pernah bekerja sebagai buruh kasar untuk membantu keluarganya selepas mereka berpindah ke bandar Seongnam berhampiran Seoul.

Pada usia belasan tahun, beliau mengalami hilang upaya kekal selepas pergelangan tangan kirinya cedera akibat kemalangan di tempat kerja.
Kesusahan hidupnya tidak menghalang Jae-myung untuk lulus ujian sekolah menengah dan menyambung pengajian di bawah tajaan biasiswa dalam bidang undang-undang di Chung-ang University.
Selepas tamat belajar pada 1986, beliau bergelar peguam dan fokus utamanya adalah tentang dasar buruh serta hak asasi manusia.
Ketika itu, Jae-myung mengetuai kempen sivik di Seongnam, menyokong gerakan antirasuah dan penjagaan kesihatan awam.
Fasa awal peralihannya dalam bidang politik agak sukar berikutan beliau gagal dilantik sebagai Datuk Bandar Seongnam ketika percubaan pertama pada 2006, namun cita-cita itu tercapai empat tahun kemudian.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Gabenor Gyeonggi (2018-21), wilayah berpopulasi paling padat berhampiran Seoul.
Selepas meletak jawatan sebagai Gabenor, Jae-myung yang mewakili DP terpaksa akur setelah berdepan kekalahan tipis kepada Suk Yeol pada Pilihan Raya Presiden 2022 yang berlangsung sengit.
Dasar ekonomi berunsur populis yang diperjuangkannya termasuk bentuk terhad pendapatan asas sejagat antara yang mencuri perhatian ramai ketika itu.
Raih imuniti
Jae-myung dikenali sebagai ahli politik bersuara lantang bersesuaian dengan kedudukannya sebagai wakil parti berhaluan tengah-kiri.
“Kemiskinan bukanlah satu dosa. Tetapi, saya sentiasa peka terhadap ketidakadilan yang saya pernah alami ketika berada dalam golongan itu.
“Sebab utama saya berada dalam politik hari ini adalah untuk membantu mereka yang masih menderita akibat hidup miskin dan bagaimana saya akhirnya berjaya melepaskan diri daripada keputusasaan dengan membina masyarakat yang adil serta dunia penuh harapan,” katanya menerusi ucapan pada 2022.
Jae-myung membina imej yang baik sejak Pilihan Raya Parlimen 2024 yang menyaksikan DP pimpinan beliau memenangi 173 daripada 300 kerusi Perhimpunan Kebangsaan.
Beliau kekal menjadi calon pilihan untuk bergelar Presiden dalam kalangan anggota DP dengan sokongan hampir 90 peratus.
Jae-myung menyifatkan kemenangan beliau sebagai kemunculan semula luar biasa setelah dua kegagalan sebelum ini selain memberi peluang kepadanya untuk mendapat imuniti daripada sebarang pendakwaan sehingga tempoh penggal perkhidmatannya berakhir.
Mampukah Jae-myung yang terselamat cubaan bunuh pada tahun lalu dapat melindungi dirinya dan terus 'kebal' sehingga pentadbiran beliau tamat atau bakal berdepan skandal kontroversi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!