China cadang lanjut cuti perkahwinan 25 hari, bersalin 150 hari

HONG KONG – Pihak berkuasa kesihatan di wilayah Sichuan, barat daya China, mencadangkan cuti perkahwinan dilanjutkan sehingga 25 hari dan cuti bersalin sehingga 150 hari sebagai usaha membentuk masyarakat yang mesra kesuburan bagi merangsang pertumbuhan penduduk negara berkenaan.
Menurut laporan Reuters, langkah tersebut diambil ketika kerajaan China terus bergelut untuk meningkatkan kadar kelahiran dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Penduduk China mencatatkan penyusutan buat tahun ketiga berturut-turut pada tahun lalu, dengan pakar menjangka trend penurunan itu akan terus meruncing.
Suruhanjaya Kesihatan Sichuan yang menerbitkan draf cadangan di laman sesawangnya kini sedang mengumpul maklum balas awam bermula 30 Mei hingga 30 Jun.
Wilayah Sichuan mempunyai populasi seramai 84 juta orang, iaitu melebihi jumlah penduduk kebanyakan negara termasuk Jerman dan United Kingdom.
Cadangan itu akan menyaksikan cuti perkahwinan dipanjangkan sebanyak 400 peratus berbanding lima hari ketika ini, manakala tempoh cuti bersalin dilanjutkan lebih daripada dua kali ganda, iaitu daripada 60 hari kepada 150 hari.
Wilayah berkenaan turut mencadangkan cuti paterniti dilanjutkan kepada 30 hari berbanding 20 hari ketika ini, bagi memudahkan suami menjaga isteri selepas bersalin serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab dalam membesarkan anak.
Sichuan muncul sebagai antara wilayah paling progresif di China apabila membenarkan wanita belum berkahwin mendapatkan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Pada tahun 2023, pihak berkuasa wilayah itu turut mengumumkan bahawa individu bujang layak menerima manfaat yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk pasangan berkahwin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!