Lima cedera dihempap papan tanda di tapak festival

Mangsa mengalami calar di bahagian belakang badan selepas dihempap papan tanda di tapak
Mangsa mengalami calar di bahagian belakang badan selepas dihempap papan tanda di tapak
A
A
A

TAWAU – Lima individu cedera selepas dihempap papan tanda ketika ribut melanda semasa mereka berkunjung ke festival makanan yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau, pada malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan termasuk calar pada badan dan bengkak otot.

Menurut salah seorang mangsa, Ardyhansah Amat, 40, kejadian berlaku ketika mereka mengunjungi tapak festival sempena hari terakhir acara berkenaan yang berlangsung selama tiga hari di daerah itu.

“Kami tiba sekitar jam 9.30 malam dan selepas berjalan-jalan selama satu jam, kami mengambil keputusan untuk pulang.

“Tetapi sebelum itu, kami sempat merakam gambar. Tiba-tiba angin kuat dan debu mula berterbangan sehingga masuk ke mata. Kami mahu bergerak kerana keadaan angin semakin kuat tetapi belum hujan ketika itu. Baru sahaja melangkah dua tapak, tiba-tiba papan tanda rebah ke arah kami.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Saya tidak sempat lari dan hanya sempat menggunakan tangan untuk melindungi kepala daripada dihempap papan tanda tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, suasana ketika itu menjadi panik, namun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang ramai yang berada di lokasi segera bertindak menarik mereka keluar dari tindihan papan tanda berkenaan.

“Kami periksa kepala masing-masing, semuanya dalam keadaan baik, cuma tangan terasa pedih disebabkan luka. Seorang rakan kami masih terbaring di atas jalan kerana terperangkap dan terkena besi, sama seperti saya.

Artikel Berkaitan:

“Rakan saya memaklumkan dia dihempap dan terkena pada bahagian belakang dan pinggang. Namun selepas pemeriksaan lanjut, tiada yang parah, hanya calar pada badan serta bengkak otot selepas mendapatkan rawatan di klinik,” kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!