'Tekanan hidup terus meningkat, rakyat makin terhimpit' – Razalif

Kos penganjuran program korban tiga unta dan seekor lembu ini secara keseluruhan mencecah kira-kira RM150,000 dan penyertaan hampir 1,000 penduduk. Gambar kecil, Razalif Mohd Zain.
Kos penganjuran program korban tiga unta dan seekor lembu ini secara keseluruhan mencecah kira-kira RM150,000 dan penyertaan hampir 1,000 penduduk. Gambar kecil, Razalif Mohd Zain.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kegagalan Kerajaan Madani menangani isu kos sara hidup rakyat kini memberi tekanan yang semakin membebankan golongan B40, terutamanya di kawasan bandar seperti Bandar Tun Razak.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Razalif Mohd Zain berkata, kehidupan rakyat bawahan kini semakin tertekan, dengan harga barangan asas terus meningkat tanpa ada langkah penyelesaian menyeluruh daripada kerajaan.

“Bukan semua golongan elit tinggal di Bandar Tun Razak. Hakikatnya, kebanyakan penduduk di sini adalah daripada golongan B40.

“B40 sekarang sangat tertekan dalam kehidupan, terutamanya dalam mendapatkan barangan asas harian,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Program Korban Unta sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Surau Tarbiah Jalan Cheras, Bandar Tun Razak di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kawasan tersebut yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), turut menunjukkan perubahan sokongan akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap pendekatan Kerajaan Madani yang dianggap gagal menangani isu kos sara hidup.

“Kita faham kawasan ini dahulunya kubu kuat PKR, tetapi sejak Kerajaan Madani mengambil alih, sokongan rakyat semakin berkurang.

“Rakyat semakin hilang keyakinan kerana kos sara hidup bukan sahaja tidak dikawal, malah terus meningkat tanpa penyelesaian jelas,” katanya lagi.

Mengenai Program Korban Unta, ujarnya, program tersebut menjadi perhatian penduduk apabila menyaksikan penyembelihan tiga ekor unta dan seekor lembu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia antara program korban paling besar pernah dianjurkan di kawasan itu, dengan kos keseluruhan mencecah kira-kira RM150,000 dan penyertaan hampir 1,000 orang penduduk.

“Tahun ini kita mahu buat kelainan dengan mengadakan korban unta untuk memberikan semangat dan kegembiraan kepada penduduk setempat yang kini semakin terbeban dengan tekanan ekonomi,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama persatuan-persatuan penduduk di kawasan sekitar dan jawatankuasa Surau Tarbiah Jalan Cheras, dalam usaha memperkukuh hubungan masyarakat serta menyemarakkan semangat Aidiladha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!