Pemuda maut rempuh tembok batu sebelum tercampak dalam parit

MUAR - Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Parit Unas, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.35 pagi ketika mangsa Muhammad Aidil Rahman, 21, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Jawa dari tempat kerja di bandar Muar.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa merupakan seorang pekerja swasta yang beralamat di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Batu Pahat.
Katanya, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh tembok batu dan tiang lampu yang berada di kiri bahu jalan sekali gus menyebabkan mangsa tercampak sebelum melanggar papan tanda nama jalan dan terjatuh ke dalam parit.
“Akibatnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, bagi tujuan bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Fettry Mahat berkata, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan dan Penyelamatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit berada dalam parit berkedalaman dua meter. Pihak Bomba membantu mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.33 pagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!