Remaja maut motosikal rempuh belakang lori

Remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditungganginya merempuh lori di Lebuhraya DUKE.
Remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditungganginya merempuh lori di Lebuhraya DUKE.
A
A
A

GOMBAK – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 4 Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), berhampiran susur Jalan Taman Samudera Selatan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 9.23 malam melibatkan laluan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Gombak.

“Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, ketika mangsa, seorang remaja lelaki tempatan berumur 17 tahun, menunggang sebuah motosikal dari arah Sentul ke Sri Gombak.

“Setibanya di lokasi, mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori, mengakibatkan motosikal yang ditungganginya terbabas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius akibat pelanggaran tersebut.

“Mangsa yang parah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596.

“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!