[VIDEO] Nahas pelajar UPSI: MB Perak menangis, umum bantuan RM1,000

A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak dapat menahan sedih ketika mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa nahas bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di sini pada Isnin.

Menurutnya, sumbangan daripada kerajaan negeri itu bagi membantu waris mangsa yang terlibat untuk meringankan beban mereka.

Jelas beliau, bantuan sewajarnya telah diberi kepada pihak berkaitan sejak awal pagi di Hospital Gerik.

"Kita hulur sumbangan RM1,000 bagi setiap keluarga supaya mereka yang datang ini ada sedikit wang belanja. Kita tahu mereka bukan daripada keluarga senang. Saya sangat faham.

"Sebab itu kita hulurkan bantuan supaya keluarga ini dapat tempat menginap dan belanja sedikit," katanya kepada pemberita dengan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Saarani (kiri) bertemu waris mangsa nahas bas membawa pelajar UPSI di HRPB di sini pada Isnin. Foto Pejabat Menteri Besar Perak
Saarani (kiri) bertemu waris mangsa nahas bas membawa pelajar UPSI di HRPB di sini pada Isnin. Foto Pejabat Menteri Besar Perak

Dalam pada itu, Saarani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu memudahkan urusan waris dan para petugas.

Menurutnya, pihak UPSI akan membantu menguruskan kenderaan jenazah untuk dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi urusan pengebumian.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Perak keseluruhannya kita hendak menyatakan rasa amat sedih yang sangat mendalam. Kita ucapkan takziah kepada keluarga yang ditinggalkan.

"Kepada mangsa yang masih di hospital bagi tujuan penyembuhan sama ada yang kritikal atau tidak, kita doakan mereka sembuh dan meneruskan pengajian mereka di UPSI," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!