'Bayar sejak dua tahun, rumah masih belum siap'

Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram fasa pertama masih terbengkalai selepas dijadualkan siap pada tahun lalu. (Gambar kecil: Muhammad Shafiq, Mohamad Nabil)
Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram fasa pertama masih terbengkalai selepas dijadualkan siap pada tahun lalu. (Gambar kecil: Muhammad Shafiq, Mohamad Nabil)
A
A
A

KUANTAN - Pembeli unit Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram di sini meluahkan rasa kesal terhadap kegagalan pihak pemaju menyiapkan rumah mereka walaupun bayaran pinjaman telah bermula sejak dua tahun lalu.

Wakil pembeli, Muhammad Shafiq Mohd Zaki, 36, berkata, mereka kini menanggung beban berganda apabila perlu membayar rumah yang belum siap, selain menanggung kos sewa kediaman lain.

“Tapi seperti yang kita tengok di belakang ini, pekerja pun tiada. Jadi, kami risau sebab pembayaran sudah bermula dan pihak bank telah mula membuat potongan gaji.

“Saya sendiri sudah dua tahun membayar, dengan potongan gaji sebanyak RM200 sebulan. Ada juga pembeli maklumkan dalam kumpulan WhatsApp yang kami tubuhkan, mereka dikenakan bayaran antara RM300 hingga RM450 sebulan, tetapi rumah masih belum kelihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram di sini pada Isnin.

Pekerja swasta itu memaklumkan bahawa projek berkenaan sepatutnya siap pada 2022, namun sehingga kini fasa pertama masih terbengkalai.

“Fasa pertama pun belum siap, sedangkan pemaju memaklumkan terdapat tiga fasa. Kalau nak beri alasan Covid-19, itu dah lama berlalu.

“Kalau nak beri alasan musim tengkujuh, kawasan lain pun sama. Tapi kenapa di sini masih begini?” soalnya.

Menurut Muhammad Shafiq, pembeli telah menghubungi kerajaan Pahang dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui emel, namun sehingga kini belum menerima maklum balas.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pertemuan bersama pemaju juga telah diadakan, namun jawapan yang diterima amat mengecewakan.

“Kami dah tanya pemaju, jawapan sama juga. Katanya mungkin siap hujung tahun atau awal tahun depan, tapi tahun bila pun tak pasti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Mohamad Nabil Fikri Mohamad Najib, 39, berkata, rumah yang dibeli pada harga RM80,000 sepatutnya siap pada 2024, namun sehingga kini masih terbengkalai.

“Yang sedihnya, projek di belakang rumah saya oleh pemaju yang sama sudah hampir siap 80 peratus. Tapi rumah saya langsung tiada kemajuan.

“Kalau kita tengok kawasan rumah contoh, pokok-pokok pun dah tumbuh. Saya bimbang ia jadi sarang penagihan dadah atau maksiat. Walaupun ada kawalan keselamatan, tetap risau,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat segera mengambil tindakan dan mempercepatkan proses penyiapan rumah agar pembeli tidak terus dibebani dengan hutang serta kos sewa yang berlarutan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya akan membawa perkara berkenaan ke pengetahuan kerajaan negeri untuk tindakan susulan.

Beliau mengakui tidak mengetahui bahawa projek tersebut telah terbengkalai seperti yang didakwa oleh netizen baru-baru ini.

“Namun, setahu saya projek itu masih berjalan, cuma tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan syarikat pemaju.

“Saya difahamkan projek ini sepatutnya siap pada Oktober 2024 dan kini masih dalam proses penyiapan,” katanya.

Chun Kuang turut memaklumkan bahawa pada tahun lalu, beliau diminta memilih 200 penerima daripada 1,500 pemohon bagi projek berkenaan dan kesemua senarai sokongan telah dihantar semula kepada Lembaga Perumahan Pahang.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan projek ini dengan harapan ia dapat disiapkan segera supaya pembeli menerima rumah mereka secepat mungkin,” ujarnya.

Sebagai rekod, Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram dimajukan di atas tanah seluas 40.4 hektar dan melibatkan pembinaan 635 unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi.

Fasa pertama melibatkan 100 unit rumah dan dijadualkan siap pada tahun 2022.

Projek tersebut dijual pada harga RM80,000 seunit dan dikhususkan untuk rakyat berpendapatan RM5,000 ke bawah sebulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!