Kerajaan Singapura, pemangku Sultan Johor setuju tukar tanah di Holland Road

SINGAPURA - Kerajaan Singapura dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan pertukaran tanah di Holland Road, di sini.
Dalam kenyataan bersama, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Ismail akan memindahkan 13 hektar (ha) tanah milik baginda di kawasan berdekatan Tapak Warisan Dunia UNESCO Taman Botani Singapura kepada kerajaan republik itu.
Sebagai pertukaran, Kerajaan Singapura akan memindahkan 8.5 ha tanah milik negara kepada Tunku Mahkota Ismail.
"Tanah yang akan ditukar ganti adalah bernilai setara,” menurut kenyataan itu.
Tunku Mahkota Ismail kini memiliki 21.1 ha tanah di Holland Road yang telah berada di bawah pemilikan peribadi Keluarga Diraja Johor selama beberapa generasi.
SLA dan URA menyatakan bahawa Tunku Mahkota Ismail merancang untuk membangunkan tanah milik baginda.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar ganti tanah supaya pembangunan yang dirancang terletak lebih jauh dari Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.
"Pemangku Sultan Johor boleh membangunkan tanah milik baginda selepas pertukaran itu, yang sesuai untuk pembangunan kediaman bertingkat rendah dan berkapasiti rendah,” menurut kenyataan itu.
SLA dan URA menambah bahawa sebarang pelan pembangunan akan tertakluk kepada proses sewajarnya.
"URA dan agensi berkaitan akan menilai sebarang permohonan pembangunan dan memastikan pembangunan yang dicadangkan selaras dengan konteks persekitarannya,” menurut kenyataan itu.
Sebelum sebarang kerja dimulakan, kajian alam sekitar akan dijalankan bagi mengurangkan sebarang kesan terhadap alam sekitar.
Kerajaan Singapura akan mengekalkan tanah yang diterima daripada pertukaran itu tanpa pembangunan buat masa ini, namun terbuka kepada perancangan masa depan untuk kawasan berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!