Raof Mokhtar dilantik Pemangku Ketua UMNO Kota Raja

SHAH ALAM – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Raof Mokhtar dilantik secara automatik sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Raja selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melepaskan jawatan tersebut dan meninggalkan parti pada penghujung Mei lalu.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Yang pergi, biarlah pergi. Sudah menjadi kebiasaan dalam UMNO bahawa pemimpinnya datang dan pergi. Yang tinggal ialah mereka yang akan terus berjuang membawa panji serta semangat UMNO.
“UMNO Bahagian Kota Raja tidak terkecuali. Raof sebagai Timbalan Ketua Bahagian, Naib dan ketiga-tiga pemimpin sayap akan meneruskan aktiviti UMNO Kota Raja seperti biasa.
“Lebih menggembirakan, tiada satu pun cawangan UMNO Kota Raja yang ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Sayap-Sayap UMNO Selangor 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan dan melepaskan semua kedudukan yang disandangnya dalam UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan sebagai Ahli MKT, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berpandangan bahawa isu peletakan jawatan Tengku Zafrul tidak sepatutnya menjejaskan kelancaran pergerakan UMNO Selangor.
“UMNO ini bukan terbentuk kerana satu personaliti sahaja, sebaliknya kita sebagai ahli yang menggerakkannya dan malam ini kita dapat lihat semangat ‘kekitaan’ itu untuk terus mara ke hadapan.
“Siang tadi (kelmarin) saya bertemu beliau (Tengku Zafrul) dalam satu majlis. Kami tiada masalah hubungan, persahabatan tetap seperti biasa, dan perbezaan prinsip parti adalah perkara kedua.
“UMNO Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!