Bas ekspres guna tayar 'botak' diarah tukar tayar serta merta

Pihak syarikat akur arahan apabila segera mengantikan tayar bas ekspres yang botak sebelum meneruskan perjalanan. Foto Unit Korporat JPJ Pahang
Pihak syarikat akur arahan apabila segera mengantikan tayar bas ekspres yang botak sebelum meneruskan perjalanan. Foto Unit Korporat JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN – Sebuah bas ekspres diarah untuk menukar tayar serta-merta selepas salah satu tayar yang digunakan didapati 'botak' dan tidak menepati spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan Ops Hari Raya Aidiladha 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini pada Selasa.

Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berkata, dalam pemeriksaan ke atas bas terbabit, hanya satu tayar bermasalah.

Menurutnya, bas tersebut dibenarkan meneruskan perjalanan selepas tayar itu diganti.

"Dalam pemeriksaan itu, JPJ Pahang telah memeriksa 20 bas sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku semasa dalam perjalanan.

"Pemeriksaan terhadap sistem brek turut dijalankan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan menyeluruh seperti itu sebahagian usaha berterusan JPJ untuk memastikan kenderaan pengangkutan awam berada dalam keadaan selamat.

"Justeru, semua pengusaha bas dinasihatkan agar menjalankan pemeriksaan berkala terhadap kenderaan dan memastikan aspek penyelenggaraan dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan semua pihak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!